Lelaki tular ceroboh rumah sudah kena tahan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TELUK INTAN - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes pencerobohan jenayah apabila menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat kejadian itu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek berusia 23 tahun yang bekerja sebagai tukang cat rumah ditahan oleh anggota task force yang diketuai Ketua Polis Balai Teluk Intan sekitar jam 12.15 tengah malam di Jalan Padang Tembak di sini.

"Usaha mengesan suspek giat dilakukan selepas menerima laporan daripada mangsa yang kehilangan wang tunai berjumlah RM60 dan sebotol minyak wangi berjenama bernilai RM500 yang diletakkan dalam kereta.

"Selain itu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan suspek yang memasuki garaj rumah di Taman Seri Idaman di sini pada Isnin dan menyelongkar kereta milik mangsa tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah memasuki rumah mangsa dan mencuri barangan dalam kenderaan yang tidak dikunci.

"Soal siasat yang dijalankan mendapati suspek mengakui terlibat dalam kes tersebut serta berjaya menemukan semula botol minyak wangi yang dilaporkan hilang itu.

"Hasil semakan dan saringan air kencing mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah selain negatif dadah," katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dan Seksyen 447 Kanun sama kerana menceroboh.