Kanak-kanak maut, lemas dalam kolam hotel

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LABUAN - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki lemas dipercayai ketika sedang mandi di kolam sebuah hotel di Jalan Tanjung Purun di sini pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Dayan Haris Affendi, 6, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Labuan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.01 pagi.

Menurut kenyataan itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dikejar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, memang benar berlaku kejadian kanak-kanak lemas di kolam berkenaan dan mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya.

"Menurut maklumat, mangsa diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dari lokasi kejadian dan kemudian disambung sehingga ke hospital.

"Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di hospital," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, operasi ditamatkan pada jam 8.37 pagi selepas keadaan lokasi dipastikan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila yang mengesahkan kejadian itu kepada Sinar Harian berkata, mangsa bersama beberapa kanak-kanak lain sedang mandi di kolam berkenaan.

"Ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa bersama kanak-kanak lain yang sedang mandi.

"Selepas kira-kira 15 minit kemudian, kesemua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam tersebut telah diarahkan untuk naik. Namun, ibu mangsa tidak nampak anaknya dan beliau masuk ke dalam rumah untuk membuat pencarian.

"Selang beberapa minit kemudian, beberapa kanak-kanak lain menjerit kerana menemui mangsa di dalam kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian ini.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222," katanya.