BAP: KPM siasat kes guru hanya beri RM100

Gambar hiasan. - Foto: 123RF
Gambar hiasan. - Foto: 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyiasat video tular di Tik Tok berhubung seorang ibu kepada tiga anak yang belajar di sekolah sama namun menerima jumlah bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berbeza.

Menurut KPM, siasatan itu akan dilakukan dengan kerjasama pihak terlibat bagi mendapatkan maklumat lengkap.

“Ia agar tindakan yang tegas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, tular di media sosial perkongsian seorang wanita yang mempersoalkan tindakan seorang guru dengan sengaja mengurangkan jumlah asal wang BAP kepada RM100 terhadap seorang anaknya.

Berdasarkan rakaman video di TikTok, Shuhada mendakwa guru terbabit tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP di sekolah anaknya.

KPM turut memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga untuk membuat aduan secara rasmi sepanjang masa melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my atau melalui telefon sepanjang waktu pejabat beroperasi di talian 03-8884 6456.

“KPM akan memastikan semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan,” ujarnya.