Kenderaan berat ingkar larangan waktu operasi akan disita

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Aedy Fadly (kanan)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Aedy Fadly (kanan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenderaan barangan yang ingkar arahan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan sepanjang cuti Tahun Baharu Cina akan dikenakan tindakan sita.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selaras dengan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, JPJ dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan semua syarikat konsesi lebuh raya bekerjasama bagi menjalankan pemantauan terhadap kenderaan barangan selaras dengan peraturan yang diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Kita sudah bersama-sama LLM dan semua konsesi adakan jadual pemantauan, rondaan secara berkala antara JPJ dan juga semua konsesi lebuh raya.

“Semasa rondaan dijalankan dan kalau kita dapati ada kenderaan barangan dikesan berada di jalan raya atau lebuh raya pada masa yang tidak dibenarkan, kita akan terus minta pemandu berhentikan kenderaan dan ambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan sita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2023 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Jumaat.

Mengulas mengenai kemalangan sebuah treler yang membunuh sepasang suami isteri di Kilometer (KM) 259.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson, beliau berkata, semakan akan dibuat sama ada kenderaan itu melanggar waktu larangan.

“Kita akan semak dengan lebih terperinci berkaitan dengan treler yang terbabit dalam kemalangan itu, buat masa sekarang kita belum mendapat maklumat lengkap

“Untuk lori kontena, ia termasuk dalam Kategori 2 iaitu antara kenderaan yang dibenarkan beroperasi dari pelabuhan ke gudang-gudang atau kawasan industri dalam tempoh tertentu

“Kategori 2 adalah kategori kenderaan yang tidak dibenarkan beroperasi dari jam 12 tengah malam hingga 8 pagi, selepas jam 8 pagi ia dibenarkan beroperasi di jalan raya (untuk perkhidmatan keperluan asas)," katanya.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan, dua maut dalam kebakaran sebuah lori kontena di Kilometer 259.6 Lebuhraya Plus arah selatan berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kejadian kira-kira jam 8.42 pagi itu telah mengakibatkan kesesakan lebih 10 kilometer berikutan semua empat lorong jalan terpaksa ditutup.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke arah Senawang hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kanan lalu merempuh tembok tengah penghadang lebuh raya.

Mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri iaitu Mazlan Molot, 48, beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya, Selangor dan Fauziah Uyop, 40-an.