Tahanan lelaki meninggal dunia dalam lokap

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di lokap Balai Polis Baling pada jam kira-kira 10.22 malam Rabu lalu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di lokap Balai Polis Baling pada jam kira-kira 10.22 malam Rabu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

BALING - Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di lokap Balai Polis Baling pada jam kira-kira 10.22 malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, lelaki terbabit pada mulanya dibawa oleh pihak Penjara Alor Setar pada Selasa untuk menghadiri sebutan kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta yang sama di Mahkamah Majistret Baling.

Menurutnya, lelaki berkenaan telah ditumpangkan di lokap Balai Polis Baling sementara menunggu tarikh sebutan kes pada Rabu.

"Pada 18 Januari, tertuduh telah ditempatkan semula di lokap setelah menghadiri sebutan kes di Mahkamah Majistret Baling dan dijadualkan untuk dihantar ke Penjara Alor Setar pada 19 Januari (Khamis).

"Bagaimanapun, pada jam lebih kurang 9.40 malam, tertuduh mengalami sesak nafas dan sawan.

"Pihak polis dengan segera telah menghubungi Hospital Baling dan pegawai perubatan telah hadir ke lokap memberi rawatan, namun tertuduh disahkan meninggal dunia pada jam 10.22 malam," katanya.

Jelas beliau, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Khamis dan punca kematian dikenal pasti disebabkan saluran darah jantung tersumbat.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya.