Rakyat perlu sokong PM perangi rasuah, ketirisan

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Marcel)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Marcel)
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah dan ketirisan yang berlaku dalam sistem perolehan kerajaan dapat memberi impak positif terhadap ekonomi serta reputasi negara.

Naib Pengerusi Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Negeri Pulau Pinang, Marcel Tan Yue Shian berkata, semua pihak termasuk rakyat perlu memberikan sokongan mereka dalam usaha membendung budaya rasuah yang sudah lama menular di negara ini.

“Ini kali pertama kita melihat Perdana Menteri secara terang-terangan berusaha nak menghentikan budaya rasuah.

“Jadi saya fikir, kita kena tunjukkan sokongan kita pada usaha itu sebab semua orang tahu bahawa rasuah tidak bagus untuk negara, tetapi ini soal siapa yang ambil langkah pertama.

“Bagi saya langkah pertama dari Perdana Menteri itu adalah satu tindakan yang bagus untuk negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Rabu, Anwar berkata, negara mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran terus berlaku dalam sistem perolehan kerajaan jika amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, ia termasuk pengubahsuaian pendekatan cara lama termasuk tanpa campur tangan politik atau kepentingan golongan peniaga besar dalam sebarang kontrak kerajaan.

Dalam pada itu. Marcel berkata masyarakat juga perlu didedahkan dengan budaya rasuah dan keburukan amalan itu kepada negara.

“Saya rasa pendedahan melalui pendidikan itu penting kerana dahulu kalau sebut pasal korupsi, mungkin kerajaan tidak mahu bercakap mengenai itu, tetapi sekarang Perdana Menteri sendiri yang bersuara.

“Masyarakat memang sepatutnya perlu didedahkan dengan perkara itu. Jika mereka tahu bagaimana rasuah itu beri kesan kepada syarikat dan negara, mungkin mereka tidak akan terlibat dengan rasuah,” ulasnya.