Imigresen usir 107 PATI ke negara asal

Seramai 107 pendatang tanpa izin warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal pada Khamis. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia
Seramai 107 pendatang tanpa izin warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal pada Khamis. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia
A
A
A

TAWAU - Seramai 107 pendatang tanpa izin warga Indonesia diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin melalui Pelabuhan Tawau di sini ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, pada Khamis.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program itu melibatkan tahanan berumur lingkungan 14 hingga 63 tahun iaitu terdiri daripada 96 lelaki serta 11 perempuan yang dihantar pulang menggunakan pengangkutan kapal MID East Express No.1 (No. Reg. 329501).

PATI dihantar pulang menggunakan pengangkutan kapal MID East Express No.1. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia
PATI dihantar pulang menggunakan pengangkutan kapal MID East Express No.1. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia

"Kesemua yang diusir ini merupakan tahanan di Depot Imigresen Tawau dan Depot Imigresen Sandakan sahaja.

"Mereka ini yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, hukuman yang dikenakan terhadap mereka juga berdasarkan proses perundangan negara sehingga tindakan pemindahan keluar dari Malaysia, serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal tahanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan agar warga asing yang memasuki negara ini agar memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan bagi bekerja di Sabah.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah tegas mengenakan tindakan kepada individu atau pihak yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara. - Bernama