JKNS kesan 132 produk makanan tamat tempoh masih dipamer, dijual

JKNS mengesan 132 produk makanan tamat tarikh luput yang masih dipamer untuk dijual menerusi Operasi Keselamatan Makanan sempena Tahun Baharu Cina.
JKNS mengesan 132 produk makanan tamat tarikh luput yang masih dipamer untuk dijual menerusi Operasi Keselamatan Makanan sempena Tahun Baharu Cina.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan 132 produk makanan tamat tarikh luput yang masih dipamer untuk dijual menerusi Operasi Keselamatan Makanan sempena Tahun Baharu Cina.

Operasi dilaksanakan pada 9 hingga 13 Januari lepas itu membabitkan pemeriksaan keseluruhan terhadap 3, 867 produk makanan dan 612 hamper makanan di pasar raya, pasar mini, kedai borong dan kedai runcit sekitar negeri berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, operasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) peringkat negeri bersama-sama pejabat kesihatan daerah (PKD) ke atas 43 premis itu turut mengesan 1,415 produk mempunyai bungkusan rosak seperti tin kemik, berkarat serta kembung.

Menurutnya, kesemua produk makanan yang bernilai RM6,872.68 itu telah dialihkan daripada rak pameran jualan bagi disita di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan persetujuan pelupusan mengikut Seksyen 4(8) akta sama.

"Lima notis 32B iaitu kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(j) dan Peraturan 14(9)(b) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut dikeluarkan semasa operasi

ini dan nilai kompaun yang ditawarkan adalah sebanyak RM20,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, Dr Sha'ari turut memaklumkan sebanyak 33 pensampelan buah limau mandarin telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis parameter racun perosak iaitu organophosphorus (OP), organochlorine (OC) dan synthetic pyrethroids (SP).

"Tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil sekiranya keputusan analisis menunjukkan ada perlanggaran residu racun perosak mengikut Peraturan 41 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Selain itu, satu perintah penutupan stor premis sebuah pasar raya selama 14 hari telah dilakukan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana premis tersebut didapati tidak bersih," tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Sha'ari meminta orang ramai agar sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual.

Malah beliau menyeru pengusaha pasar raya, pasar mini serta kedai runcit seluruh Selangor untuk sentiasa memastikan produk makanan yang dijual mematuhi segala keperluan perundangan seperti yang termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya