PM tampil kelainan bersama arnab, zahir ucapan Tahun Baharu Cina

Tangkap layar video Anwar sampaikan mesej Tahun Baharu Cina Jabatan Perdana Menteri.
Tangkap layar video Anwar sampaikan mesej Tahun Baharu Cina Jabatan Perdana Menteri.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan kelainan dalam memberi ucapan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bersama dengan seekor arnab.

Menerusi video berdurasi satu minit 45 saat itu, Anwar dirakam memegang arnab putih bernama Miki dengan menegaskan bahawa semua rakyat berbilang kaum di negara ini wajar diperkasakan.

Pada permulaan video, kisah Miki dipersembahkan dengan menceritakan arnab itu yang gagah meneruskan perjalanan kehidupan dan berpantang untuk menyerah meskipun terpaksa mengharung pelbagai cabaran serta dugaan.

Kisah Miki memberi mesej kepada semua bahawa walaupun telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan selama ini dalam mencari sinar harapan namun jangan pernah mengalah.

Selepas menempuh kepayahan dan kesusahan itu namun selagi mana ada harapan pasti sinar akan hadir.

Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan mesej kepada rakyat untuk bangkit dengan semangat perpaduan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

"Sebagai sebuah negara merdeka dan sudah matang serta dewasa, wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia yang tercinta.

"Untuk kesempatan ini, marilah kita sama-sama merayakan hari kebesaran masyarakat Cina.

"Gong Xi Fa Cai. Selamat Tahun Baharu. Xin Nian Hao," katanya menerusi video mesej Tahun Baru Cina Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat.