Pengalaman pisahkan Spurs, City - Conte

Conte akur Spurs perlu menimba lebih banyak pengalaman untuk membentuk pasukan yang mantap. - Foto Agensi
Conte akur Spurs perlu menimba lebih banyak pengalaman untuk membentuk pasukan yang mantap. - Foto Agensi
A
A
A

JURULATIH Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengakui pengalaman memisahkan mereka dengan Manchester City ketika Spurs berkelebihan untuk menang sebelum The Citizens bangkit meraihkan kemenangan 4-2 pada Jumaat.

Kekalahan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sesuatu yang memeritkan buat Conte, namun dia kekal komited untuk membantu pasukan meraih kemenangan pada aksi akan datang.

“Anda tidak akan kalah perlawanan seperti ini jika memiliki lebih banyak pengalaman,” ujar Conte.

Jaringan babak kedua oleh Julian Alvarez dan Erling Haaland serta dua gol Riyad Mahrez memadam kelebihan dua gol yang dimiliki Spurs hasil jaringan Dejan Kulusevski dan Emerson Royal sebelum rehat.

Conte juga mengakui pengalaman amat berharga dan ia perlu dilalui menerusi satu proses yang panjang.

“Anda tidak boleh membeli pengalaman. Pengalaman diraih secara langkah demi langkah, tahun demi tahun. Kami melepaskan banyak gol dan tidak bagus dibolosi empat jaringan dalam separuh babak.

“Ia kali pertama berlaku, tetapi kami perlu terus bekerja, meningkatkan pasukan dan memberikan aksi terbaik.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan perlawanan kerana kami berhak mendapat sesuatu yang lebih baik,” ujar Conte.

Artikel Berkaitan:

Musim lalu, Conte muncul sebagai 'hero' apabila menyelamatkan permulaan hambar Spurs selepas menggantikan Nuno Esprito Santo sebelum menamatkan kancah EPL dalam kelompok empat terbaik.

Bagaimanapun musim pertamanya kali ini mengundang bermasalah apabila mereka tewas enam daripada 10 aksi terakhir EPL.

“Saya sedar cabaran dalam situasi ini. Saya bekerja keras kerana mahu meningkatkan pasukan, memajukan kelab dengan visi dan idea sendiri,” katanya.