Yoodo Red Giants buru empat terbaik MPL 2023

Tengku Amir Shah (depan, empat dari kiri) selepas Majlis Pengenalan Pemain E-Sukan Selangor FC di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor FC pada Khamis. - Foto Bernama
Tengku Amir Shah (depan, empat dari kiri) selepas Majlis Pengenalan Pemain E-Sukan Selangor FC di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor FC pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC memperkenalkan pasukan Yoodo Red Giants, iaitu skuad e-sukan Mobile Legends pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) 2023 pada awal bulan hadapan.

Ketua E-sukan Selangor FC, Simon Lim berkata, pasukan Yoodo Red Giants yang diuruskan oleh Mohd Erwin, 26, akan dibarisi oleh Muhammad Yaacob, 23; Mohd Hakim, 22; Syed Naufal Fitri, 20; Ilman Zareef, 19; Muhammad Amir Zakwan, 19 dan Muhammad Haqqulah, 16.

“Kita menyasarkan skuad ini akan berada di kedudukan empat terbaik dalam edisi MPL kali ini dan untuk tujuan itu kita akan melatih mereka sebagai atlet profesional dengan ditempatkan di sebuah 'gaming house' di sini.

“Kita juga akan mempunyai jurulatih kecerdasan yang akan melatih mereka dan pakar pemakanan yang menjaga serta memantau soal pemakanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman skuad tersebut di Pusat Latihan Selangor FC, pada Khamis.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Selangor FC turut berkenan berangkat ke majlis tersebut. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa.

Beliau berkata, bagi musim MPL kali ini, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM200,000 hingga RM400,000 untuk pasukan tersebut merangkumi perbelanjaan semua aspek termasuk gaji.

Simon berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk melebarkan sukan tersebut bagi acara PUBG.

“Dalam perancangan kami, selepas ini mahu menubuhkan pasukan PUBG. Diharap urusan pasukan hari ini (Yoodo Red Giants) dipermudahkan, kita akan ada skuad PUBG pula,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Yoodo Chow Tuck Mun berkata, pihaknya berharap kerjasama dengan Selangor FC bagi pasukan baharu itu membuahkan hasil dan berjaya meraih kejayaan selain dapat membanggakan negara. - Bernama