Tujuh premis makanan di Gua Musang diarah tutup

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK melakukan pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2023 di Gua Musang pada Selasa dan Rabu.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK melakukan pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2023 di Gua Musang pada Selasa dan Rabu.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan tujuh premis makanan di sini ditutup selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, arahan itu selari dengan Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Pada masa yang sama, kita telah keluarkan 98 notis kompaun kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2023 itu diadakan pada Selasa dan Rabu oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, JKNK.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 67 notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan bawah Peraturan 32(1)(b), iaitu kegagalan pengendali makanan mematuhi kehendak pakaian semasa mengendali makanan.

Ujarnya, satu notis bawah Peraturan 8(1)(a) iaitu tidak mempamerkan perakuan pendaftaran, notis dan sebagainya dalam premis makanan.

Dr Zaini berkata, dua notis Peraturan 31(1) berhubung dengan pemeriksaan kesihatan dan vaksin pengendali makanan turut dikeluarkan.

"Lapan notis bawah Peraturan 33(1)(a), satu notis Peraturan 33(1)(d) dan 12 notis bawah Peraturan 33(1)(f) iaitu berhubungan dengan kebersihan diri pengendali makanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, lima notis kompaun dikeluarkan bagi Peraturan 11(1)(b) dan satu notis bagi Peraturan 11(1)(c) berkaitan kewajipan am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan.

Ujarnya, hanya satu notis dikeluarkan bagi Peraturan 34(1) yang berhubung dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan dalam keadaan bersih.

Dr Zaini berkata, jumlah keseluruhan notis kompaun yang ditawarkan ialah RM18,150.

"Kami ingin menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi Gua Musang dan juga seluruh Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih.

"JKNK juga sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna," katanya.