Berang ditegur buat bising, dua beradik tetak pekerja restoran

Dua suspek bertindak menyerang seorang pekerja restoran dalam kejadian di Taman Segar Perdana, Cheras di sini pada Rabu.
Dua suspek bertindak menyerang seorang pekerja restoran dalam kejadian di Taman Segar Perdana, Cheras di sini pada Rabu.
A
A
A

KAJANG - Berang ditegur kerana membuat bising, dua beradik bertindak nekad menetak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah restoran Taman Segar Perdana, Cheras di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan diterima pihaknya berkaitan kejadian kira-kira jam 9.25 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang merupakan pekerja di restoran tersebut.

"Mangsa sebelum itu bertindak menegur suspek membuat bising apabila minuman yang dipesan lewat dihantar sebelum suspek dihalau keluar.

"Suspek kemudian bersama seorang individu lain dipercayai adik-beradiknya telah datang semula ke lokasi dengan membawa sebilah parang sebelum bertindak menyerang mangsa sehingga mengakibatkan mangsa patah tulang jari telunjuk kiri dan luka di lutut kaki kanan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pada Rabu.

"Kedua-dua suspek berumur 44 dan 47 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang di sebuah rumah di Taman Cheras Permata, Kajang.

"Polis turut merampas dua bilah parang serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek direman lima hari untuk siasatan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.