'Kali terakhir Mohammad Sudeh hubungi keluarga bulan ini'

Vivian menyapu air mata Ratna yang terlalu sedih dan tertekan mengenangkan nasib anaknya itu. - Foto Facebook Vivian Wong
Vivian menyapu air mata Ratna yang terlalu sedih dan tertekan mengenangkan nasib anaknya itu. - Foto Facebook Vivian Wong
A
A
A

SANDAKAN - Mohammad Sudeh Sudin, 20, seorang daripada kru kapal kargo yang dilapor hilang di perairan Indonesia baru-baru ini, kali terakhir menghubungi keluarganya awal bulan ini.

Ibunya, Ratna Abu, 53, memberitahu perkara tersebut kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee yang melawat keluarga mangsa di rumahnya di sini pada Rabu.

Vivian berkata, sejak dihubungi Mohammad Sudeh awal bulan ini, keluarganya tidak menerima apa-apa khabar mengenai kru itu sehingga hari ini.

"Selepas itu mereka (keluarga mangsa) menerima laporan berhubung kejadian menimpa anaknya dan rakan-rakan anaknya yang lain," kata Wong menerusi kenyataan pada Rabu.

Media sebelum ini cuba menemu bual keluarga itu, bagaimanapun keluarga itu memohon pihak media supaya memberikan ruang dan privasi kepada mereka ketika berdepan dugaan tersebut.

Ratna kelihatan sedih dan sugul kerana sehingga ke hari ini dia sekeluarga masih belum menerima sebarang khabar berita mengenai Mohammad Sudeh. - Foto Facebook Vivian Wong
Ratna kelihatan sedih dan sugul kerana sehingga ke hari ini dia sekeluarga masih belum menerima sebarang khabar berita mengenai Mohammad Sudeh. - Foto Facebook Vivian Wong

Vivian berkata, ketika tiba kediaman kru kapal kargo itu, Ratna kelihatan tidak berdaya untuk bergerak kerana terlalu sedih dan tertekan mengenangkan nasib anaknya itu.

"Kami mendoakan segala urusan dan misi pencarian serta menyelamat dapat dijalankan dengan sebaiknya dan dipermudahkan. Didoakan agar semua kru kapal ditemui dengan selamat dan keluarga tabah," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Januari lepas, kapal kargo MV Dal Cat 06, yang didaftarkan di Malaysia, membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205 serta lima kru iaitu tiga warganegara dan dua warga Indonesia, dipercayai hilang di perairan Indonesia.

Laporan kehilangan kapal kargo itu dibuat ejen kapal terbabit pada 12.11 tengah hari, pada hari yang sama. - Bernama