Dua penjual sayur warga Myanmar maut rempuh lori

Kenderaan remuk teruk pada bahagian sebelah kiri sehingga menyebabkan dua penumpang kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian. - Foto Facebook Kemalangan Jalan Raya 2023
Kenderaan remuk teruk pada bahagian sebelah kiri sehingga menyebabkan dua penumpang kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian. - Foto Facebook Kemalangan Jalan Raya 2023
A
A
A

GUA MUSANG - Dua penjual sayur warga Myanmar maut, manakala dua lagi cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang sedang berhenti di bahu jalan di KM16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Pahang berhampiran Lepan Tupai, kira-kira jam 6.30 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kedua-dua mangsa iaitu Monir Ahmad Goni Ahmad, 47, dan Umar Habibah, yang belum diketahui umurnya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Cherry yang dinaiki mangsa dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu merempuh bahagian belakang sebelah kanan lori jenis Isuzu yang sedang berhenti di bahu jalan untuk berehat.

"Perlanggaran terbabit menyebabkan kenderaan Cherry remuk teruk pada bahagian sebelah kiri sehingga menyebabkan dua penumpang kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu dan seorang lagi penumpang yang kedua-duanya juga warga Myanmar di dalam kereta terbabit mengalami kecederaan pada kepala dan patah kaki kanan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Sik berkata pemandu dan kelindan lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa yang terlibat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: