Laluan Terowong Penchala ditutup Sabtu ini

Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

PETALING JAYA - Laluan di Terowong Penchala Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) menghala ke Taman Tun Dr Ismail ( TTDI)/ Lebuhraya Damansara Puchong/Kg Sungai Penchala akan ditutup sementara Sabtu ini bagi memberi laluan kepada latihan kecemasan.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak), Shah Rizal Mohd Fawzi berkata, latihan kecemasan anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Petron Malaysia, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat itu akan bermula jam 7 hingga 9.30 pagi.

“Latihan turut mendapat kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Polis Peronda Lebuhraya (EMPV) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini diadakan di Kilometer 3.2 (arah barat) dari arah Bukit Kiara / Hartamas menghala ke Penchala.

“Pengguna lebuh raya yang menghala ke Kampung Sungai Penchala, TTDI dan LDP dari arah Jalan Duta/ Mont Kiara/Sri Hartamas akan dilencongkan ke laluan kontra sementara yang diaktifkan sepanjang tempoh latihan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, kon trafik dan papan tanda arahan sementara akan diletakkan di lokasi sepanjang latihan kecemasan dijalankan untuk membantu pengguna lebuh raya.

Maklumat lanjut akan disalurkan secara berterusan melalui akaun rasmi media sosial Sprint, Facebook (Litrak Group) dan Twitter (@SPRINTtrafik), paparan mesej elektronik (VMS) dan pengumuman radio.

Pengguna juga boleh menghubungi talian bantuan Sprint menerusi 03-7494 7333 untuk maklumat trafik.

Artikel Berkaitan: