PRN bakal jadi petunjuk penting kepada UMNO

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PERWAKILAN Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu lalu bertindak berani mempertahankan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila meluluskan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu pada pemilihan akan datang.

Suara majoriti perwakilan yang ‘bergema’ ketika pengundian usul tersebut membuktikan mereka memberikan keyakinan penuh kepada Ahmad Zahid dan Mohamad untuk menyusun strategi parti untuk kekal relevan susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan situasi semasa, percaturan politik negara ketika ini di luar kebiasaan dan dilihat tidak selari dengan kehendak rakyat. Pendekatan parti berubah apabila UMNO dan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang sebelum ini bertegas tidak sama sekali menjalinkan hubungan kerjasama tetapi hari ini duduk semeja dalam Jemaah Menteri.

Penyokong PH yang menolak pemimpin terlibat kes rasuah juga kini sudah semakin menerima hakikat dan menghormati pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Maka, pendirian UMNO untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi sudah pasti diperhalusi perwakilan demi kelangsungan parti, meskipun ramai yang tidak berpuas hati.

Rakyat mahu parti Melayu itu menyuburkan semangat demokrasi dan majoriti penganalisis politik juga berpandangan sedemikian.

Namun demokrasi juga tidak boleh dilihat dari sudut pertandingan semata-mata tetapi pendirian suara akar umbi termasuk ketua-ketua bahagian parti seluruh negara juga mewakili suara demokrasi.

Implikasi daripada keputusan tersebut sudah tentu bakal diterjemahkan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tahun ini, sama ada parti yang berusia 77 tahun itu masih relevan atau tidak.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana prestasi buruk UMNO dan Barisan Nasional pada PRU15 yang lalu dikaitkan dengan penolakan rakyat terhadap Zahid yang dilabel sebagai Kluster Mahkamah.

Justeru, PRN Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang boleh dijadikan kayu pengukur sokongan pengundi kepada kepimpinan UMNO sedia ada.

Daripada terus meratapi kekalahan dan berbalah sesama sendiri, adalah lebih baik UMNO membuktikan parti itu terbuka dan boleh berubah. Ini akan beri impak positif pada PRN, sekali gus meningkatkan semula sokongan orang Melayu.