Kerajaan lulus peruntukan RM40 juta kepada TAR UMT

Penyerahan peruntukan pentadbiran sebanyak RM40 juta kepada TAR UMT pada Selasa.
Penyerahan peruntukan pentadbiran sebanyak RM40 juta kepada TAR UMT pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan meluluskan peruntukan pentadbiran sebanyak RM40 juta kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) bagi menyokong institusi itu dalam menyediakan pendidikan berkualiti,.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pemberian tersebut sebagai angpau Tahun Baru Cina yang amat bermakna apabila ramai pelajar dan keluarga akan mendapat manfaat.

“Terima kasih Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika saya pertama kali bertemu beliau pada Disember lalu, iaitu tidak lama selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau bertekad meluluskan peruntukan ini bagi menyokong TAR UMT dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

“Semoga dengan komitmen baharu untuk menyalurkan dana kepada TAR UMT ini, kontroversi peruntukan untuk universiti ini akhirnya akan berakhir,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Majlis penyerahan kelulusan peruntukan itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim sempena lawatan ke institusi pendidikan itu pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai; Pengerusi Lembaga Gabenor TAR UMT, Tan Sri Liow Tiong Lai; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC, Tan Siok Choo dan Pengerusi Majlis Alumni TAR UMT, Tan Sri Chan Kong Choy.

Ujar Ka Siong, sejak ditubuhkan pada 1969, institusi itu memberikan pendidikan kepada ratusan ribu pelajar dan ketika ini terdapat 29,000 orang dari pelbagai latar belakang, kaum, agama serta fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

“Marilah kita meneruskan tumpuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan mampu milik kepada generasi muda dan melatih lebih ramai bakat untuk negara kita,” katanya.