Tiga terselamat, kereta terjunam ke dalam tasik

Seorang pemandu dan dua peumpang terselamat selepas kereta dinaiki terjunam dalam tasik selepas hilang kawalan di Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat pada Selasa.
Seorang pemandu dan dua peumpang terselamat selepas kereta dinaiki terjunam dalam tasik selepas hilang kawalan di Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat pada Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada pemandu dan dua penumpang yang terselamat selepas kereta dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam tasik di Jalan Bukit Pasir di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 1.30 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki bersama dua rakan wanitanya dalam perjalanan dari arah Tongkang Pechah menghala ke arah Batu Pahat.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas dan terus masuk ke dalam tasik di sebelah kanan jalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, orang awam membantu ketiga-tiga mangsa sebelum kereta tersebut tenggelam di tasik berkenaan.

Ismail memberitahu, semua mangsa berusia antara 25 tahun hingga 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebuah kereta yang terjunam dalam tasik berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba di Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat pada Selasa.
Sebuah kereta yang terjunam dalam tasik berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba di Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat pada Selasa.

Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat datang membantu mengeluarkan kereta tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pihak bomba membantu memasang pencangkuk pada lori penunda kepada badan kereta itu dengan menyelam ke dalam tasik bagi tujuan menarik keluar kereta tersebut," ujar beliau.

Tambahnya, kes disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan.