Padah menyamar polis, tiga lelaki diberkas

Antara barang yang dirampas oleh anggota MPV dalam pemeriksaan berkenaan. - Foto PDRM
Antara barang yang dirampas oleh anggota MPV dalam pemeriksaan berkenaan. - Foto PDRM
A
A
A

SUBANG JAYA - Tindakan tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis untuk melepaskan diri ketika ditahan Unit Kereta Peronda (MPV) membawa padah apabila kesemua mereka ditahan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, anggota MPV yang sedang membuat rondaan menahan sebuah Perodua Myvi dinaiki kesemua suspek pada jam 10.10 malam.

"Anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan sebuah Perodua Myvi dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa ditahan, salah seorang daripada suspek telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis tetapi gagal untuk mengemukakan sebarang kad kuasa sebagai bukti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Azlan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki suspek menemui sebuah beg berwarna hitam mengandungi sebentuk gari besi, kad pas polis beserta gambar dan nombor badan, lencana besi lambang polis dan seutas rantai Polis Antarabangsa (Interpol).

Katanya, ketiga-tiga suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 31 tahun gagal memberikan alasan munasabah berhubung semua barangan berkenaan dalam pemilikan mereka.

"Mereka menyamar sebagai polis bagi memperdaya anggota MPV yang membuat pemeriksaan dengan harapan boleh terlepas, malangnya tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan akan direman empat hari bermula Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang mana jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua duanya bagi kesalahan pertama," ujar beliau.