Pramugari bertudung, langkah hentikan stigma - Yadim

Yadim mengalu-alukan inisiatif Malaysia Airlines yang melaksanakan tinjauan untuk mendapatkan pandangan ramai mengenai sekiranya pramugari mereka dibenarkan mengenakan hijab atau pakaian menutup aurat. - Foto hiasan/Bernama
Yadim mengalu-alukan inisiatif Malaysia Airlines yang melaksanakan tinjauan untuk mendapatkan pandangan ramai mengenai sekiranya pramugari mereka dibenarkan mengenakan hijab atau pakaian menutup aurat. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berpandangan tindakan Malaysia Airlines melakukan tinjauan dalam talian mengenai pramugari dibenarkan mengenakan hijab atau menutup aurat adalah satu langkah proaktif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, kaedah tersebut dapat menghentikan stigma dan eksploitasi kepada wanita yang terlibat dalam industri itu.

“Yadim mengalu-alukan inisiatif Malaysia Airlines yang melaksanakan tinjauan dalam talian untuk mendapatkan pandangan ramai mengenai sekiranya pramugari mereka dibenarkan mengenakan hijab atau pakaian yang menutup aurat.

“Tahniah diucapkan kepada Malaysia Airlines atas inisiatif ini. Ia juga memberi ruang untuk melaksanakan ajaran agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, usaha tersebut wajar diberi pujian dan sokongan selaras dengan agenda mengangkat martabat wanita dan Islam yang dibawa oleh kerajaan.

Tuan Kamarul Arief
Tuan Kamarul Arief

“Malaysia Airlines bakal menyertai beberapa lagi syarikat yang membenarkan pramugarinya menutup aurat seperti Royal Brunei Airline, Egyptair dan Air Cairo.

“Malah baru-baru ini, British Airways juga memperkenalkan seragam baharu dengan pilihan tudung untuk kru wanita,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Tuan Kamarul, Yadim optimis bahawa tinjauan tersebut akan mendapat respons positif daripada rakyat.

Tambahnya, perkara tersebut juga tidak sama sekali menjejaskan produktiviti Malaysia Airlines yang terkenal dengan cogan kata 'Hospitaliti Malaysia Bermula Dengan Kita'.

“Bahkan setiap usaha yang membawa manusia kepada pematuhan terhadap syariat ALLAH akan mendatangkan keberkatan dan kebaikan walau sekecil mana usaha tersebut,” katanya.