Polis Johor kutip RM2.28 juta bayaran saman dalam tiga hari

Kamarul Zaman menyampaikan sumbangan kepada orang ramai ketika program Walkabout Kempen Rumah Selamat sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat di MidValley Southkey, Johor Bahru pada Selasa.
Kamarul Zaman menyampaikan sumbangan kepada orang ramai ketika program Walkabout Kempen Rumah Selamat sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat di MidValley Southkey, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor berjaya mengutip RM2.28 juta bayaran saman dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu lalu hingga Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bayaran itu dikutip hasil tawaran diskaun 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina di semua kaunter polis termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Tawaran diskaun itu diadakan untuk menggalakkan masyarakat melunaskan saman tertunggak, meringan beban kewangan serta mempermudahkan urusan bayaran saman bagi yang bermasalah melalui tawaran diskaun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Walkabout Kempen Rumah Selamat Sempena Tahun Baharu Cina dan Op Selamat di MidValley Southkey di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Komisioner M Kumar.

Kamarul Zaman berkata, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pihaknya menjangkakan kesesakan aliran trafik yang luar biasa di Lebuh Raya Linkedua, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Menurutnya, bilangan kenderaan memasuki negeri ini dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding hari biasa iaitu kira-kira 100,000 kenderaan akan berulang alik.

"Polis bersiap sedia untuk menambah bilangan anggota di kedua-dua pintu masuk terutama pada waktu puncak bermula Jumaat ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman berkata, dilaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution akan mengadakan mesyuarat khas tentang kesesakan di BSI dan KSAB pada minggu ini.

Beliau berkata, semua kaunter termasuk laluan pejalan kaki akan dibuka dengan menempatkan maksimum 250 pegawai dan anggota polis yang akan melancarkan trafik di kedua-dua pintu masuk.

"Bagi memastikan keanggotaan mencukupi bagi tempoh musim perayaan ini, kita hanya meluluskan permohonan 10 peratus pegawai dan anggota polis yang akan bercuti pada Tahun Baharu Cina ini.

"Selain menumpukan kepada Op Selamat dan Kempen Rumah Selamat, polis juga membuat rondaan di premis perniagaan dan kawasan perumahan," katanya.

Mengenai Op Selamat Tahun Baharu Cina 2023, beliau berkata, fokus penguatkuasaan adalah tertumpu kepada enam kesalahan utama iaitu kesalahan memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu.

"Menurut statistik tahun lalu, kesalahan memandu melebihi had laju adalah tertinggi dengan 276,129 kes direkodkan daripada jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan iaitu 311,674.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor juga akan beri tumpuan pada operasi teras iaitu Ops Samseng Jalanan, Ops Mabuk dan Ops Kenderaan Perdagangan," katanya.