Pemain Itali nafi guna sijil vaksinasi palsu untuk bertanding

Camila Giorgi - Foto AFP
Camila Giorgi - Foto AFP
A
A
A

PEMAIN Itali, Camila Giorgi menafikan bahawa dia menggunakan sijil vaksinasi Covid-19 palsu untuk bertanding dalam kejohanan tenis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Media Itali melaporkan bulan lalu bahawa seorang doktor, Daniela Grillone, telah menamakan Giorgi sebagai antara individu yang mendapatkan dokumen palsu.

Bercakap buat kali pertama mengenai dakwaan itu selepas kemenangan 6-0, 6-1 ke atas Anastasia Pavlyuchenkova pada pusingan pembukaan Terbuka Australia, Giorgi menegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Doktor itu telah disiasat dan dia berdepan tindakan undang-undang beberapa kali.

"Saya mendapatkan suntikan vaksinasi di tempat yang berbeza. Jadi saya tiada masalah dengan itu.

"Dia (menyenaraikan) nama saya, sudah tentu, tetapi terdapat lebih daripada 300 orang dalam senarai berkenaan," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Beberapa negara mewajibkan pemain untuk memberikan bukti vaksinasi sebelum menyertai kejohanan tenis pada 2021 dan 2022, termasuk Australia dan Amerika Syarikat.

Giorgi mengakui beliau menerima suntikan vaksin daripada Grillone dan dia telah menggunakan dokumen yang disediakan oleh doktor itu.

Artikel Berkaitan:

Tetapi dia menafikan dakwaan memperoleh dokumen palsu sambil berkata: "Tidak, tidak sama sekali." - Bernama