MUIP sumbang lebih RM2 juta kepada 68 sekolah

Asmadi (kiri) ditemani Maznah (tengah) ketika melawat surau SMART yang dinaik taraf di sini.
Asmadi (kiri) ditemani Maznah (tengah) ketika melawat surau SMART yang dinaik taraf di sini.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang lebih RM2 juta kepada 68 sekolah di negeri ini tahun lalu untuk menaik taraf surau dan menyediakan pelbagai kemudahan asas selain membaiki kerosakan pada bangunan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, setiap sekolah menerima bantuan antara RM18,000 hingga RM299,000 mengikut permohonan dan kegunaan.

Menurutnya, setiap tahun MUIP menyediakan peruntukan khas kepada sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah agama yang berdaftar dengan MUIP serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Bantuan pembangunan sekolah ini diterima oleh pihak sekolah berdasarkan pembayaran zakat yang dibuat oleh guru dan kakitangan di sesebuah sekolah. Jika kutipan zakat sekolah banyak, secara tidak langsung pihak sekolah akan mendapat manfaatnya.

"Sebagai contoh, MUIP menyumbang RM300,00 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), di sini untuk kegunaan menaik taraf surau sekolah.

"Saya difahamkan sekolah berkenaan seratus peratus guru dan kakitangan beragama Islam merupakan pembayar zakat, setiap tahun sebanyak RM110,000, sebahagian bayaran zakat mereka kita pulangkan kepada mereka," katanya pada Rabu.

Beliau sebelum itu meninjau projek menaik taraf surau SMART yang ditemani pengetua sekolah tersebut, Maznah Ariffin.

Mengulas lanjut mengenai projek menaik taraf surau SMART, Asmadi berkata, bantuan diberikan diharap dapat melancarkan projek menaik taraf surau sekolah berkenaan yang mampu menampung kira-kira 700 pelajar dalam satu masa.

Artikel Berkaitan:

"MUIP berharap lebih ramai lagi guru di negeri ini tampil membayar zakat pendapatan mereka kepada PKZ dan pelbagai usaha dilakukan bagi memberi kesedaran pada golongan berkenaan terhadap tanggungjawab membayar zakat," katanya.

Sementara itu, Maznah berkata, perbelanjaan keseluruhan menaik taraf surau menelan belanja RM700,000.

"Jika surau ini siap sepenuhnya nanti, ia mampu memuatkan 700 pelajar selain menjadi tempat penganjuran kuliah agama bagi pelajar yang tinggal di asrama.

"Saya mengucapkan terima kasih pada MUIP yang tampil menyumbang bagi menampung menaik taraf surau sekolah," jelas beliau.