Tiga individu didakwa kes tuntutan palsu insentif Penjana Perkeso

Darus (dua, kiri) dan Kamarudin (empat, kiri) tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 di Mahkamah Seksyen di sini, pada Selasa.
Darus (dua, kiri) dan Kamarudin (empat, kiri) tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 di Mahkamah Seksyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Tiga individu didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM108,900, daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tertuduh, Mohd Fahmi Fikri Mohd Nor, 29, Kamaruddin Ab Kadir, 57 dan Darus Jidin@Mamat, 49, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas tiga pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan Mohd Fahmi Fikri, didakwa mengemukakan butiran palsu atas nama Perusahaan Arrizqi 46 Enterprise melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud untuk menuntut insentif berjumlah RM38,700 di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso.

Kamaruddin turut didakwa atas kesalahan sama dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja atas nama Perusahaan Syafi Muhjah TC melibatkan tuntutan berjumlah RM23,800.

Manakala Darus yang juga pemilik syarikat DJ Warisan Enterprise didakwa dengan kesalahan sama dengan tuntutan berjumlah RM46,400.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu Pejabat Perkeso negeri Melaka antara 9 Mac 2021 hingga 29 Mei 2021.

Kesemua pendakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM10,000 masing-masing terhadap Mohd Fahmi Fikri dan Kamaruddin manakala jaminan RM15,000 dicadangkan terhadap Darus.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Elesabet dalam penghakimannya kemudian membenarkan Mohd Fahmi Fikri, dan Kamaruddin diikat jamin RM8,000 manakala Darus dengan jumlah RM10,000.

Mahkamah turut bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 17 Februari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.