444 aduan berkaitan media baharu diterima setakat ini - Fahmi

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A
CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 444 aduan berkaitan media baharu setakat pertengahan bulan ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menyifatkan jumlah itu membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, MCMC telah merancang untuk memperkasa program dan aktiviti berkaitan penularan maklumat palsu, tuturan kebencian dan penipuan dalam talian ketika ini.

"(Aduan diterima) hanya pada Januari dan ini satu jumlah membimbangkan, saya harap inisiatif ini bukan hanya dapat diteruskan tetapi dilipatgandakan untuk memacu Malaysia ke arah dunia siber yang positif,” katanya ketika berucap melancarkan Ulang Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak (KDB) pada Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi Interim MCMC, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

KDB ialah sebuah inisiatif yang diperkenal pada 2012 untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna Internet tentang keselamatan dalam talian dengan menitikberatkan kawalan kendiri berdasarkan prinsip Rukun Negara.

Mengenai KDB, Fahmi menyarankan MCMC untuk menggunakan maklumat daripada orang ramai bagi menambah baik inisiatif berkenaan selaras perkembangan semasa.

"Kita mungkin perlu sedikit anjakan, audiens kita juga merupakan aktivis kita...jadi maklumat itu tidak disimpan untuk kegunaan mereka tetapi mereka secara aktif sampaikan kepada lain.



"Mungkin dari segi ini, saya ingin bincang dengan MCMC...terutama dengan sekolah-sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta kerana mereka golongan yang ramai sertai ekonomi digital yang sedang kita bangunkan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau menyokong inisiatif KDB kerana ia memberi kesedaran serta pendidikan kepada orang ramai mengenai penggunaan Internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada MCMC kerana inisiatif KDB itu dicalonkan sebagai finalis untuk Anugerah World Summit of Information Society 2023 (WSIS_2023) yang akan berlangsung pada 17 hingga 23 Mac ini di Geneva, Switzerland. - Bernama
Artikel Berkaitan: