Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu lebih RM1.2 juta

M Karthikesan (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah lebih RM1.2 juta, dua tahun lalu.
M Karthikesan (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah lebih RM1.2 juta, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat pembekal pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya lebih RM1.2 juta, dua tahun lalu.

M Karthikesan, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikatnya, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah RM1,262,260 kepada ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ia dengan niat hendak memperdayakan Perkeso yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang maklumat pekerja baharu.

Sedangkan, 34 nama dalam senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak bekerja dengan syarikat berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Kampung Baru, di sini dan Persiaran Perdana Presint 2, Putrajaya antara 19 Mei hingga 3 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah matan yang palsu jika ia dapat dinilai, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

“Kami juga mencadangkan tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, T Vijaya merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang rendah dengan alasan memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

“Dia juga perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah selain perniagaannya kini terjejas selepas didakwa di mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes.