Bekas penyelia Rela didenda RM5,000 buat tuntutan elaun palsu

Hasnah (tengah) didenda RM5,000, buat tuntutan elaun palsu.
Hasnah (tengah) didenda RM5,000, buat tuntutan elaun palsu.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang bekas penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun palsu sebanyak RM2,088, empat tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hasnah Yusof, 68, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan, selain wang yang disita turut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Tuntutan Elaun Penugasan Keselamatan Rela Jabatan Kastam yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen Borang Tuntutan tersebut adalah palsu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada Januari hingga Mac 2019 di Pejabat RelaNegeri Sembilan.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada Januari hingga Mac 2019, tertuduh sendiri telah menyediakan dan mengemukakan suatu Tuntutan Elaun Penugasan Keselamatan Rela Jabatan Kastam atas nama individu lain yang dipercayai mempunyai butiran matan palsu ke Pejabat RELA Daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Tuntutan yang dihantar dan diluluskan adalah berjumlah RM2,088, bagaimanapun hasil siasatan mendapati individu berkenaan tidak bertugas sebagai penugasan keselamatan Rela pada masa tuntutan itu dibuat oleh tertuduh.