Ilham luar biasa Alfian

A
A
A

JEJAKA berusia 25 tahun ini amat meminati kumpulan muzik The Special, Madness dan Ska Band.

Sebenarnya, minat Hafeez Alfian Rahmat atau Alfian bukan hanya terarah kepada muzik tetapi kepada fesyen yang dipakai oleh ahli kumpulan British tersebut setiap kali mereka muncul membuat persembahan.

ALFIAN ingin jenamanya dikenali seluruh negara
ALFIAN ingin jenamanya dikenali seluruh negara

**

Ya, sut dan kot yang dikenakan pemuzik antarabangsa tersebut sesungguhnya telah memberi inspirasi kepada anak muda kelahiran Johor Bahru, Johor itu untuk terjun ke dunia fesyen.

“Ketika saya berumur 13 tahun, kumpulan band dari British itu telah membuatkan saya mengagumi mereka. Bukan sahaja muzik, fesyen sut dan jaket yang digayakan telah membuatkan saya jatuh cinta pada dunia fesyen,” katanya ketika ditemui Oh! Lelaki pada seminar Volkswagen Automotive Academy di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tidak menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan, Alfian terus menyambung pengajian di Segi College dalam bidang Rekaan Fesyen. Untuk mengkhususkan skilnya dalam busana lelaki, beliau kemudian menuntut ilmu di SML Fashion Academy, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

ALFIAN amat mementingkan kualiti pakaian yang dihasilkannya
ALFIAN amat mementingkan kualiti pakaian yang dihasilkannya

Nyahkan pandangan masyarakat kononnya arena fesyen milik wanita. Alfian berkata, beliau bersyukur keluarganya terutama ibu tersayang memberi lampu hijau terhadap kecintaannya.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin pengalaman ibu yang pernah menyertai pertandingan model Mustika Ratu membuatkan ibu lebih memahami kerjaya sebagai pereka fesyen.

“Saya juga berpendapat jantina bukan penentu kerjaya seseorang, ia bergantung kepada minat. Dengan adanya minat, ia akan terus menjadi senjata kepada saya untuk kekal relevan dalam dunia fesyen ini,” katanya.

Alfian De Suits

Apa trademark Alfian? Anak muda berhati waja itu berkata, sudah pasti dirinya memilih sut dan jaket di bawah jenama Alfian De Suits.

“Saya pernah mereka pakaian wanita. Namun, seperti ada sesuatu yang tidak kena pada rekaan itu, akhirnya saya pasrah dan fokus kepada pakaian sut untuk lelaki dan wanita juga,” ujarnya.

Bagi menghasilkan sesuatu yang berbeza, Alfian berkata, beliau akan sedaya upaya mencipta sesuatu yang berbeza.

Kata pereka muda itu lagi, mengikut aliran fesyen terkini bukan pendekatannya.

ALFIAN ketika menyertai Malaysia Fashion Week
ALFIAN ketika menyertai Malaysia Fashion Week

“Sebenarnya, saya lebih terarah kepada fesyen negara Eropah,” katanya.

Seperkara yang boleh dibanggakan, pada usia masih muda, Alfian sudah memiliki butik sendiri yang terletak di Setia Alam, Selangor.

Butik yang baru beroperasi pada bulan Mac lalu merupakan kejayaan besar buatnya yang sebelum ini menjalankan perniagaan atas talian bagi memasarkan jenamanya.

Ujar Alfian lagi, rezeki yang dicurahkan Ilahi tidak putus-putus selepas beliau menyertai pertandingan Malaysia Fashion Week, Singapore Fashion Week dan Kedah Fashion Week. “Pertandingan itu mematangkan saya dan menambah keyakinan terhadap rekaan yang dihasilkan. Ia satu kenangan manis yang saya tidak boleh dilupakan terutama ketika menyertai Malaysia Fashion Week.

“Ketika itu, seorang profesor telah membeli sut daripada seorang pereka yang masih muda seperti saya. Saya sungguh terharu kerana produk yang saya hasilkan ada orang suka,” katanya dengan nada teruja.

Peluang

Benarkah seorang pereka muda sukar untuk menempatkan diri dalam industri fesyen tempatan?

Mendengar persoalan itu, Alfian kelihatan tenang sambil berkata: “Saya percaya rezeki itu milik Allah SWT.”

Pun demikian, beliau tidak menafikan tidak mudah untuk mempromosikan jenamanya.

“Namun, berputus asa bukan sifat yang ada dalam kamus hidup saya. Saya sentiasa memikirkan jalan, antaranya, mengambil pendekatan menjalinkan hubungan rapat dengan syarikat korporat,” kata pemuda itu.

Selain itu, Alfian turut bekerjasama menaja pakaian untuk selebriti.

Antara yang pernah memakai jenama Alfian De Suits ialah Ajak Shiro, Haqiem Rusli, Tajul, Ara Johari dan Ismail Izzani.

Ujarnya, usahasama dengan artis merupakan salah satu strategi pemasaran yang baik.

BERSAMA rakan artis Ajak Shiro dan Azrel yang pernah mengayakan suit rekaan Alfian
BERSAMA rakan artis Ajak Shiro dan Azrel yang pernah mengayakan suit rekaan Alfian

“Apabila seorang artis percaya dan memuat naik hasil kerja kita melalui laman sosial, ia akan membuka peluang yang lebih besar,” katanya.

Kepada Oh! Lelaki, beliau berkata, dirinya akan mempertimbangkan dahulu sebelum mereka pakaian untuk mana-mana selebriti.

Semoga jenama Alfian & De Suits dikenali seluruh dunia sejajar dengan jenama antarabangsa yang lain!

ANEKDOT

NAMA:Hafeez Alfian Rahmat/Alfian

JENAMA DIMILIKI: Alfian & De Suits

UMUR: 25

ANAK KELAHIRAN: Johor Bharu

PENDIDIKAN:

1. Segi College, Seri Kembangan, Selangor (Rekaan Fesyen)

2. Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan (Pengajian Perniagaan)

3. SML Fashion Academy, Bukit Bintang, Kuala Lumpur (Fesyen Lelaki)

HOBI: Bergaya/berfesyen

MISI HIDUP: Ingin jenama Alfian & De Suits dikenali seluruh dunia

IDOLA: Pereka fesyen Amerika Syarikat, Thom Browne.

PERTANDINGAN DISERTAI:

1. Malaysia Footwear Design Competition (MFDC) - 2015

2. Malaysia Fashion Week - 2016

3. Singapore Fashion Week dan Kedah Fashion Week - 2018