Skuad boling lelaki negara cemerlang di Hong Kong

Skuad boling negara akhiri penantian 15 tahun apabila memenangi acara All Event di ATBC.
Skuad boling negara akhiri penantian 15 tahun apabila memenangi acara All Event di ATBC.
A
A
A

SKUAD boling negara terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan, selain menyapu bersih acara All Event lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) pada Isnin.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong itu, skuad kebangsaan pada mulanya hanya mampu menduduki tempat ketiga bagi blok pertama dalam acara lima berpasukan dengan melakukan 3,607 jatuhan pin.

Bagaimanapun, pasukan terdiri daripada Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol bangkit merampas tempat pertama pada blok kedua setelah melakukan 7,323 jatuhan pin untuk meraih emas.

Keputusan yang diraih skuad kebangsaan itu mengetepikan cabaran pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat kedua dengan 7,079 jatuhan pin dan tempat ketiga dimenangi oleh skuad Korea Selatan dengan catatan 7,044 jatuhan pin

Dalam pada itu, Muhammad Rafiq turut mencipta sensasi selepas meraih emas acara All Event lelaki dengan membuat jatuhan pin tertinggi 6,128, diikuti rakan sepasukan Timmy yang memenangi perak dengan 6,073 jatuhan pin.

Gangsa milik Tun Hakim yang mengumpul 5,954 jatuhan pin, manakala skuad negara turut mengisi kedudukan keempat dan kelima masing-masing menerusi Ahmad Muaz (5,938) dan Syafiq Ridhwan (5,850).

Setakat ini, Malaysia berada di kedudukan pertama dalam pungutan pingat keseluruhan dengan memperoleh tiga emas, lima perak dan tiga gangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan: