SUP TPM ziarah perwakilan UMNO cedera kemalangan

Megat Zulkarnain (dua dari kanan) menziarahi seorang perwakilan UMNO yang masih dirawat di hospital.
Megat Zulkarnain (dua dari kanan) menziarahi seorang perwakilan UMNO yang masih dirawat di hospital.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada Isnin menziarahi perwakilan UMNO yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Beliau mewakili Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa berkunjung ke rumah mangsa di Kemaman selepas mereka dibenarkan keluar dari hospital.

Selepas itu, Megat Zulkarnain menziarahi seorang lagi mangsa yang tercedera dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

"Alhamdullilah tiada kecederaan serius namun mangsa masih lagi trauma.

"Walaupun belum sembuh sepenuhnya, saya mendengar cerita daripada mangsa bagaimana kemalangan itu boleh berlaku.

"Semoga semua yang cedera akan kembali sembuh seperti sediakala dan kembali menjalani rutin seperti biasa dan terus berkhidmat bersama parti," katanya di sini pada Isnin.

Dalam kunjungan bersama Pengerusi UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said itu, beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa dan keluarganya.

Media sebelum ini melaporkan sembilan Wanita UMNO cedera apabila terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menghadiri persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur arah Timur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, van dinaiki sekumpulan wanita yang dipercayai ahli UMNO itu dipandu oleh pemuda berusia 37 tahun.