Kerajaan teliti semua projek NCIA selepas Bajet 2023

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perlis di Dewan 2020 di Kangar pada Isnin. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perlis di Dewan 2020 di Kangar pada Isnin. - Foto Bernama.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan berbincang dan meneliti semula projek-projek yang diterima selepas pembentangan Bajet 2023, 24 Februari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek-projek yang terlibat termasuk dari Perlis iaitu Perlis Inland Port (PIP), Pelabuhan Sanglang, selain projek keterjaminan makanan.

Katanya, menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk mengupayakan kedudukan ekonomi di negeri Perlis yang lebih ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

"Soal projek-projek itu, kita akan bincang dengan koridor utara (NCIA), di mana Menteri Besar (Perlis) juga telah hantar beberapa projek seperti Pelabuhan Sanglang, Inland Port, dan sekuriti makanan,

"Itu adalah hal yang akan diberi tumpuan tetapi lebih baik kita teliti sedikit lagi selepas pembentangan bajet bulan Februari, selepas itu baru saya start (untuk teliti)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020 di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengadakan perbincangan sebaik mungkin mengenai projek-projek berkenaan memandangkan negara menghadapi kekangan kewangan ketika ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyatakan bahawa kerajaan negeri akan menyusun projek-projek ekonomi negeri dalam memastikan pembangunan sektor berkenaan mampu ditingkatkan sekali gus memberi kesan positif kepada negeri pada tahun 2023.

Artikel Berkaitan: