Pemandu bas rugi RM30,000 rumah disamun 4 lelaki bersenjata

No Image Caption
A
A
A

NILAI - Seorang pemandu bas mengalami kerugian kira-kira RM30,000 termasuk wang tunai RM9,500 selepas kediamannya di sini dipercayai disamun empat lelaki menggunakan senjata dalam kejadian awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan kediamannya disamun pada lebih kurang jam 6 pagi.

"Dalam kejadian itu, suspek telah mengacukan parang kepada mangsa dan ahli keluarganya sebelum memaksa isteri mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai.

"Mereka sekeluarga kemudiannya ditempatkan di sebuah bilik dan suspek telah menggeledah rumah seterusnya melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Waja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mangsa mendapati wang tunai lebih kurang RM9,500 telah hilang.

"Hasil siasatan mendapati, suspek memanjat pagar dan masuk ke dalam rumah mangsa yang tidak berkunci seterusnya bertindak mengacukan parang kepada isteri mangsa yang sedang menggosok baju di sebuah bilik. Mangsa mengalami kerugian RM30,000 akibat kejadian ini.

"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan dengan senjata," jelasnya.

Abdul Malik berkata, pihak polis kini mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kes ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, mereka dinasihatkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222.

"Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan memastikan kediaman dikunci dengan rapi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.