Saifuddin seru negara anggota WUAA kongsi penemuan baharu

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru negara-negara anggota Kesatuan Pertanian Sedunia (WUAA) untuk berkongsi penemuan dan cadangan yang relevan dengan Malaysia dalam menangani kemiskinan, ketidakstabilan makanan dan kelaparan.

"Kerajaan sentiasa terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan pemain swasta untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.

"Saya gembira bahawa WUAA Malaysia akan memberi tumpuan kepada bagaimana sistem pertanian di Malaysia dan dunia dapat membasmi kemiskinan dan kelaparan," katanya dalam ucapan perasmian pada Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke -15 (IBS 2018) di sini hari ini.

Lebih 400 usahawan asing dan tempatan akan mengambil bahagian dalam IBS 2018 dari 13 hingga 16 Dis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Turut hadir Pengarah Strategik Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia, Datuk Naim Mohamad dan Presiden Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia Datuk Chong Chong Tik.

Saifuddin berkata beliau percaya IBS 2018 akan menjadi platform yang efektif untuk pempamer dari pelbagai negara mempromosikan produk mereka bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada negara lain, terutama di Asia.

"Malaysia telah menjadi destinasi pilihan bagi banyak pempamer antarabangsa yang memandang melangkaui sempadan mereka untuk peluang dan pasaran baharu," katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah negara perdagangan, dan adalah kepentingan kerajaan untuk memastikan pasaran terbuka serta memperluaskan pasaran secara global.

"Saya berharap pameran ini akan memenuhi semua aspirasi kami dan saling memberi manfaat kepada semua selain membincangkan bagaimana untuk menjadikan Malaysia dan dunia tempat yang lebih baik," kata beliau. - Bernama
Artikel Berkaitan: