20 tahun mahligai dibina musnah

Aileen reda rumah tangga dibina hampir 20 tahun hancur selepas kehadiran orang ketiga.
Aileen reda rumah tangga dibina hampir 20 tahun hancur selepas kehadiran orang ketiga.
A
A
A

KUANTAN - Rumah tangga yang dibina hampir 20 tahun diserikan lagi dengan dua cahaya mata akhirnya hancur berkecai selepas kehadiran ‘orang ketiga’.

Aileen, 45, tidak menyangka ikatan yang dibina atas dasar cinta tidak kekal lama selepas kehadiran kekasih lama bekas suaminya, Aidil kira-kira empat tahun lalu.

Dari situ bermulalah episod duka apabila Aidil mula mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga kerana tergila-gila kekasih lamanya itu.

“Saya terkejut apabila tahu bekas suami ada orang lain melalui aplikasi WhatsApp. Semua pesanan melalui hantaran itu saya baca satu persatu termasuk merancang untuk berkahwin.

“Bila baca semua itu, luluh jantung saya, betapa kecewanya hati ini dan sepanjang saya hidup bersama Aidil, dia tidak pernah khianati saya. Malah masih terdengar bisik janji manisnya yang akan tetap setia terhadap saya.

“Tapi sejak anak sudah membesar, dia mula buat perangai dan saya kecewa kerana banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk dia termasuk menolak jodoh daripada pilihan keluarga,” katanya kepada Sinar Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN Perosak rumah tangga boleh dipenjara, denda

Anak sulung daripada lima beradik berasal dari Perak itu memberitahu terpaksa berpura-pura tidak tahu mengenai perhubungan Aidil dan wanita itu pada awalnya.

Namun, jelas Aileen, perlakuan bekas suami terhadap dirinya dan anak-anak makin jelas apabila mula bersikap panas baran serta tidak pulang ke rumah berbulan-bulan lamanya.

Artikel Berkaitan:

“Waktu itu macam-macam perasaan yang saya rasa apabila tahu suami tercinta disayangi oleh orang ketiga," luahnya.

Aileen mengakui kehadiran orang ketiga menjadi salah satu faktor kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga.

“Saya percaya bahawa dia (orang ketiga) memainkan peranan dalam kemusnahan rumah tangga.

“Ini yang saya lalui sehingga anak-anak saya ‘kehilangan’ ayah,” katanya yang pernah berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya sebelum ini, namun akhirnya kecundang juga.

ARTIKEL BERKAITAN Azmira kecewa suami tidak jujur