Isu tukar tanah Mindef: PAC baharu wajar teruskan siasatan

Wong Kah Woh
Wong Kah Woh
A
A
A
KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu diteruskan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai perkara itu.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia perlu diteruskan supaya siasatan secara adil dapat dilaksana berdasarkan dapatan siasatan oleh PAC sebelum ini yang diketuai Pengerusinya, Wong Kah Woh.

Mengikut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Kah Woh berkata, jawatankuasa itu di bawah pengawasannya telah menyelesaikan 50 peratus draf siasatan namun tidak dapat dimuktamad berikutan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober tahun lepas.

Justeru, Awang Azman berkata, sambungan siasatan kes itu wajar dilakukan seiring dengan dasar Kerajaan Perpaduan yang ingin melihat pentadbiran lebih bersih, baik dan telus.

"Kalau tidak disiasat, ia akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat, selama ini didedahkan tapi tiba-tiba siasatan tidak diteruskan... siasatan harus diteruskan untuk memberi gambaran menyeluruh berdasarkan penemuan siasatan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, sambungan siasatan itu akan memastikan semua tadbir urus dalam Mindef dijalankan dengan lebih terperinci dan telus sekali gus membina keyakinan rakyat terhadap pengurusan kementerian berkenaan.

Awang Azman berkata, ia juga bagi mengelakkan budaya rasuah dalam pengurusan kerajaan yang boleh menjejaskan nama negara.

"Kita mahu perkara tersebut dapat dijelaskan, betulkah seperti dakwaan awal ataupun sebaliknya, maknanya ia mampu membersihkan nama institusi pemimpin tertentu supaya kes itu lebih jelas... untuk menunjukkan bahawa negara kita bertindak menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan pangkat,” katanya.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, yang juga Penganalisis Pertahanan, turut berpendapat siasatan wajar diteruskan bagi menghentikan khabar angin tentang salah laku dalam kes itu.
Artikel Berkaitan:


"Ramai yang terlibat dalam kes ini mungkin telahpun bersara dan berpindah ke jawatan lain tetapi bagi saya, kalau tidak diteruskan akan ada tuduhan bahawa kerajaan sekarang ingin menutup sesuatu.

"Jadi (siasatan) sepatutnya diteruskan tetapi janganlah mengambil masa yang terlalu lama... walaupun isu ini rumit dan sulit serta sensitif tetapi harus boleh dilakukan dengan cepat,” katanya sambil menambah PAC sebelum ini pernah mengambil masa hampir dua tahun untuk melakukan siasatan.

Beliau berkata, bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan siasatan bergantung kepada PAC yang bakal dilantik sama ada akan menggunakan hasil siasatan sebelum ini yang terhenti di peringkat 50 peratus atau memulakan siasatan baharu.

Projek pertukaran tanah dan pembinaan itu bermula pada 2012 membabitkan lokasi asal di Kem Kinrara, Selangor seluas 38.04 hektar, pembinaan fasiliti Tentera Udara Diraja Malaysia di Sendayan, Negeri Sembilan serta pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada 2016, cadangan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson telah ditukar kepada pembinaan Kem Paloh di Kluang, Johor.

Menurut Kah Woh pada 2020, isu itu dikemukakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) kepada PAC.

JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes pertukaran tanah dan kaedah yang digunakan bagi membangunkan fasiliti Mindef dibiayai tukar ganti tanah Persekutuan dengan pihak swasta melibatkan tanah kerajaan seluas 2,923 ekar bernilai kira-kira RM4.8 bilion.

Kah Woh berkata, PAC ketika itu dimaklumkan antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini ialah berkaitan kerugian kerajaan akibat kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten dan pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan. - Bernama