Pemukiman Jemaah Menteri diadakan esok - Fahmi

Fahmi ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina Komuniti Kuala Lumpur peringkat Parlimen Lembah Pantai di Pantai Eco Park hari ini. - Foto Bernama
Fahmi ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina Komuniti Kuala Lumpur peringkat Parlimen Lembah Pantai di Pantai Eco Park hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sesi permukiman bersama barisan Jemaah Menteri, esok.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sesi permukiman yang berlangsung di lokasi dirahsiakan itu antara lain bagi membincangkan soal hala tuju dan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap kementerian.

"Pemukiman ini tepat pada masanya kerana dalam tempoh beberapa bulan ini, menteri-menteri sudah mengenali kementerian mereka dan mempunyai kefahaman terhadap kementerian, dan ini penting untuk hala tuju kerajaan perpaduan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar dilapor berkata, satu program permukiman akan diadakan untuk Jemaah Menteri bagi menetapkan KPI setiap kementerian selain bertujuan mendapatkan input daripada menteri setelah lebih sebulan memikul tanggungjawab dan mengemukakan perkara yang dapat dilakukan atau diperbaiki.

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan itu memberi keutamaan kepada pembentukan sikap dan dasar bersama parti lain di dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Beliau berkata, Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara parti-parti di dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan boleh memberi gambaran dan bayangan modus operandi dalam mewujudkan hubungan antara parti-parti yang membentuk kerajaan di peringkat negeri.

"Kita sudah tubuh kerajaan perpaduan di Perak dan Pahang, tetapi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor dan Melaka belum ada. Jadi saya percaya ritma di peringkat persekutuan ini, perbincangan ini akan diteruskan di peringkat negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai kerjasama politik di peringkat negeri itu akan diputuskan Majlis Presiden PH.

Mengenai strategi menghadapi PRN di enam negeri berkenaan, Fahmi berkata, langkah berbeza pastinya akan diambil antara negeri yang ditadbir parti dalam kerajaan perpaduan dan negeri di bawah pembangkang.

Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. - Bernama