Pemimpin perlu utamakan kepentingan negara - Tuanku Muhriz

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
A
A
A

KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat perlu mempunyai keikhlasan tinggi untuk berkhidmat demi rakyat dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri.

Baginda bertitah, ini kerana konflik dan budaya politik yang sempit secara berterusan hanya akan memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil dan rapuh.

"Walaupun dalam kalangan kita wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun beta yakin tentu ada persamaan terutama dalam agenda pembangunan dan kebajikan rakyat bagi membentuk negara yang lebih makmur,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan Ke-75 baginda di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti dekat sini pada Sabtu.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Tuanku Muhriz bertitah, momentum pemulihan ekonomi Negeri Sembilan pada 2021 dilihat terus ampuh dengan pertumbuhan positif tiga peratus berbanding rekod penyusutan pada tahun sebelumnya, menerusi usaha proaktif kerajaan negeri menangani cabaran pasca Covid-19 serta penyusunan strategi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif.

Tuanku Muhriz turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya merekodkan pencapaian jumlah kutipan hasil yang begitu baik iaitu RM521 juta sepanjang 2022, melebihi sasaran awal sebanyak RM432 juta.

Namun titah baginda, dalam kelegaan menikmati pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin baik, prospek ekonomi dunia pada tahun ini dijangka suram serta bakal mengalami kelembapan, dengan Malaysia turut tidak terkecuali daripada terkena tempias ketidaktentuan ekonomi global.

Artikel Berkaitan:

Baginda turut menyeru kepada semua sektor awam untuk meningkatkan lagi kecekapan tadbir urus, sistem penyampaian dan pengurusan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Seramai 540 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-75 baginda hari ini dengan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir mendahului senarai penerima.

Kedua-dua mereka dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama pada hari ini melibatkan 109 penerima, sesi kedua pada 31 Januari dan sesi ketiga 7 Februari. - Bernama