Pasar awam lama dibangun sebagai Pasar Warisan Negara

Kor Ming mengedarkan angpau kepada peniaga Pasar Besar Ipoh pada Sabtu.
Kor Ming mengedarkan angpau kepada peniaga Pasar Besar Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membangunkan pasar-pasar awam lama sebagai Pasar Warisan Negara sebagai tarikan baharu pelancong.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, Pasar Awam Taiping akan menjadi yang pertama dilaksanakan dengan mengekalkan ciri-ciri warisan sedia ada sejak dibina pada tahun 1875.

Katanya, selain di Taiping, beberapa pasar awam lama di negeri lain juga akan dikenal pasti untuk dibangunkan mengikut konsep tersebut.

"Pasar awam bertaraf warisan negara ini kebanggaan negeri Perak sedang dibina dan dijangka disiapkan sepenuhnya pada tahun 2024 sempena perayaan ulang tahun 150 tahun Taiping sebagai Bandar Warisan Taiping.

"Bersempena itu kita harap Pasar Awam Taiping bertaraf Warisan Negara siap sepenuhnya dan dirasmikan," katanya kepada pemberita ketika sesi lawatan ke Pasar Besar Ipoh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor-Ihsan Che Mat dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak.

Beliau berkata, Pasar Warisan Negara akan mengekalkan ciri-ciri istimewa yang ada dan dibuat dengan teliti tanpa merosakkan reka bentuk asal struktur bangunan tersebut.

Sementara itu, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi tujuan membaik pulih Pasar Besar Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah tersebut diberikan untuk membaiki kerosakan lantai, pedawaian dan sebagainya bagi memastikan pasar berkenaan dalam keadaan baik.

Dalam lawatan ke pasar besar berkenaan, Kor Ming turut mengedar angpau dan limau mandarin kepada peniaga serta pengunjung.