Jangan takut ancaman Belanda

Skuad Malaysian Tigers yang menggalas cabaran negara pada Piala Dunia 2023 Bhubaneswar-Rourkela di India.
Skuad Malaysian Tigers yang menggalas cabaran negara pada Piala Dunia 2023 Bhubaneswar-Rourkela di India.
A
A
A

SKUAD hoki negara dituntut untuk lebih berani apabila menyingkap saingan kempen Kumpulan C Piala Dunia 2023 Bhubaneswar-Rourkela di India pada Sabtu.

Pengendali The Malaysian Tigers, Arul Selvaraj berkata, pasukan negara akan tampil dengan semangat juang dan disiplin yang tinggi untuk cuba mengejutkan pasukan di ranking ketiga dunia itu.

Menurutnya, fizikal dan mental pemain juga berada pada tahap terbaik serta sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan tersebut.

“Kita berlatih dan memahami corak permainan lawan. Kita akan keluar memberi aksi yang berkualiti tinggi.

“Pemain juga nampak tenang dan selesa, selain bersatu hati untuk mencapai keputusan yang baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Selepas aksi menentang Belanda, skuad negara akan bertemu Chile di venue sama pada Isnin sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar dua hari selepas itu.

Dalam pada itu, Arul mencabar para pemainnya untuk memberikan aksi luar biasa dan meraih keputusan positif.

“Pesanan saya kepada pemain agar gunakan kejohanan ini untuk enjoy dan menunjukkan kualiti yang ada sebagai pemain.

Artikel Berkaitan:

“Bermain dengan keberanian dan keyakinan yang tinggi, tambahan pula ini peluang beraksi di pentas Piala Dunia,” katanya.

Arul juga meminta rakyat Malaysia khasnya penyokong Malaysian Tigers untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan sepanjang kempen kali ini.

“Sejujurnya sokongan dalam kalangan rakyat Malaysia penting dalam membarakan semangat juang pemain, apatah lagi bermain jauh dari laman sendiri.

“Doa dan sokongan dari jauh secara tidak langsung akan menyuntik semangat dalam kalangan pemain untuk memberikan aksi terbaik berdepan pasukan terbaik dunia di India,” katanya.