Dasar DNB diputuskan hujung suku pertama tahun ini

Ahmad Fahmi (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan banjir kepada kakitangan KKD Kelantan yang terjejas banjir di Kota Bharu pada Jumaat.
Ahmad Fahmi (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan banjir kepada kakitangan KKD Kelantan yang terjejas banjir di Kota Bharu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Dasar Digital Nasional Berhad (DNB) yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu akan diputuskan pada penghujung suku pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bagaimanapun berkata, perbincangan tentang hala tuju itu masih memerlukan sedikit masa lagi.

"Saya telah bertemu dengan semua pihak sama ada syarikat telekomunikasi atau pun dari Kementerian Kewangan termasuk juga pihak DNB.

"Kita telah mendapat maklum balas daripada semua pihak dan pada waktu ini Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Kewangan sedang meneliti apakah langkah serta kesan sekiranya kita mengambil sebarang pilihan," katanya semasa sidang akhbar pada sesi perjumpaan bersama warga KKD Kelantan di Pejabat Jabatan Penyiaran Kelantan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, DNB itu akan dibentang kepada jemaah menteri penghujung suku pertama tahun ini.

Ujarnya, dari situ KKD percaya kerajaan akan mengumumkan dasar perlaksanaan rangkaian 5G.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan DNB mengatakan capaian 5G sudah melebihi 50 peratus, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, perkara tersebut tidak dapat disahkan lagi.

"Perkara itu akan disahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan biasanya proses pengesahan akan mengambil masa dua minggu.

Artikel Berkaitan:

"Setakat 13 Januari, saya belum menerima maklum balas," katanya.