Pelajar UPSI maut kereta terbabas langgar pokok

Kereta dibaiki lima sekawan rosak di bahagian depan selepas melanggar pokok di susur keluar Plaza Tol Behrang di Tanjung Malim pada Jumaat. Foto: ihsan JBPM Perak
Kereta dibaiki lima sekawan rosak di bahagian depan selepas melanggar pokok di susur keluar Plaza Tol Behrang di Tanjung Malim pada Jumaat. Foto: ihsan JBPM Perak
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut manakala empat rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di susur keluar Plaza Tol Behrang, di sini pada Jumaat.

Mangsa, M Yoogavani, 20, yang juga pemandu kereta jenis Honda City disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, maklumat kejadian membabitkan lima pelajar UPSI itu diterima pada jam 2.55 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati lima sekawan itu dalam perjalanan dari Batu Gajah menuju ke kampus UPSI di sini.

"Kereta terbabit dipercayai telah hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke kanan jalan sebelum terlanggar pokok.

"Akibat kemalangan ini mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lain masing-masing berusia 20 tahun dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan," katanya.

Menurut beliau, bedah siasat mangsa akan dijalankan di Unit Forensik hospital berkenaan selepas ujian Covid-19.

Mohd Hasni berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: