PAU 2022: BN sah failkan petisyen beberapa kerusi PRU15

Zambry (duduk, kiri) pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Foto Bernama
Zambry (duduk, kiri) pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengesahkan telah memfailkan petisyen di beberapa buah kerusi bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, perincian mengenai petisyen itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita akan umumkan nanti, memang ada beberapa kawasan yang kita akan failkan. Apabila kita failkan, tentunya ada asas-asasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat laman media Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencabar keputusan PRU15.

Zambry yang merupakan Menteri Luar menambah, kerusi yang difailkan itu bukan hanya membabitkan Perikatan Nasional (PN) sahaja.

“Ada macam-macam,” katanya sambil menambah telah mengenalpasti kerusi-kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Zambry masih lagi memikirkan jawatan yang mahu ditandinginya dalam pemilihan UMNO akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Dulu saya bertanding sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Kali ini saya akan tengok macam mana kedudukannya.

“Saya ini senang sahaja, tidak ada perkara yang terdesak. Yang paling mustahak ialah saya boleh menjadi sebahagian daripada pasukan untuk kita membina balik parti ini,” ujarnya.

Jelasnya, pengumuman mengenai jawatan yang akan ditandinginya itu akan dibuat nanti.