350 majikan di Melaka gagal carum ikut siling baharu gaji

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
MELAKA - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenal pasti kira-kira 350 majikan di Melaka masih gagal melaksanakan caruman pekerja bagi siling baharu gaji daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan yang berkuat kuasa sejak 1 September tahun lepas.

Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar berkata, pihaknya telah menghantar pekeliling kepada semua majikan berdaftar di seluruh negeri ini dan seharusnya pihak terbabit menyemak mana-mana pekerja bergaji melebihi angka berkenaan dan mengikut kadar caruman ditetapkan.

"Perkeso juga akan membuat semakan dari semasa ke semasa terhadap majikan yang masih belum menaikkan kadar caruman itu dan menggesa supaya mereka mengemas kini serta mengikut kadar caruman ditetapkan dengan kadar segera.

"Kegagalan majikan berbuat demikian menyebabkan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Seksyen 6 kerana kegagalan membayar caruman pekerja, justeru kita berharap majikan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengelakkan daripada didakwa," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada penerima orang berinsuran (OB) Yap Yit Moi, 56, dalam kunjungan skuad Prihatin Perkeso sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Katil di sini pada Khamis.
Artikel Berkaitan:


Yit Moi yang merupakan bekas kerani di sebuah syarikat insurans kini terlantar akibat angin ahmar sejak Mei 2021 menerima pencen ilat berjumlah RM2,448 setiap bulan selain dibekalkan barangan keperluan seperti susu dan lampin pakai buang daripada agensi berkenaan.

Sementara itu suami penerima, Soo King Fook, 58, berkata, bantuan diterima itu dilihat dapat mengurangkan beban perbelanjaan keperluan isterinya kira-kira RM2,000 sebulan.

"Saya rasa sangat gembira dan bangga kerana menerima bantuan daripada Perkeso, dengan pendapatan bekerja sendiri selain perlu menampung perbelanjaan seorang lagi anak yang masih bersekolah, bantuan ini amat meringankan bebanan keluarga kami," katanya. - Bernama