MBK keluar 122 kompaun dalam tempoh 12 hari

Hamdan (dua dari kanan) menyerahkan surat tawaran dan kunci gerai kepada salah seorang peniaga Gerai Astaka Beserah dalam satu majlis pada Khamis.
Hamdan (dua dari kanan) menyerahkan surat tawaran dan kunci gerai kepada salah seorang peniaga Gerai Astaka Beserah dalam satu majlis pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan 122 notis kompaun terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 12 hari tahun ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 154 premis perniagaan sekitar Bandaraya Kuantan.

Menurutnya, perkembangan itu membuktikan ramai peniaga gagal mematuhi peraturan ditetapkan syarat lesen terutama dalam aspek kebersihan.

"Sepanjang tahun lalu, lebih 500 premis diperiksa dan 801 kompaun bernilai lebih RM200,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Sepanjang tahun lalu juga sebanyak 47 premis dikenakan tindakan sita dan 13 lagi diarah tutup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Gerai Astaka Beserah di sini pada Khamis.

Hamdan berkata, MBK akan terus melaksanakan operasi kebersihan secara berterusan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan dan mengutamakan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan serta kebersihan premis.

Artikel Berkaitan:

Gerai Astaka Beserah yang selesai dinaik taraf dengan kos lebih RM1 juta kekal dengan ciri uniknya berbentuk perahu.
Gerai Astaka Beserah yang selesai dinaik taraf dengan kos lebih RM1 juta kekal dengan ciri uniknya berbentuk perahu.

"Kadar kompaun yang tinggi menunjukkan tahap pematuhan peniaga kepada peraturan ditetapkan masih rendah dan perlu segera diubah," katanya.

Sementara itu katanya, Gerai Astaka Beserah yang dibina sejak tahun 1979 telah melalui proses naik taraf dengan kos lebih RM1 juta.

Beliau berkata, kerja naik taraf mengambil masa setahun dan siap sepenuhnya penghujung tahun lalu.

"Hari ini MBK telah menyerahkan kunci kepada peniaga kekal di sini dan tujuh unit gerai lain akan dibuka kepada peniaga yang berminat.

"Kita jangkakan peniaga yang telah menerima kunci akan memulakan perniagaan mereka minggu depan," katanya.

Tambah beliau, Gerai Astaka Beserah yang telah dinaik taraf dengan mengekalkan ciri-ciri asal berbentuk perahu sesuai dengan lokasinya di kawasan perkampungan nelayan.

"Ia bakal menjadi tarikan kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai jenis makanan disediakan.

"Justeru saya ingatkan peniaga di sini supaya mengutamakan kebersihan makanan dan premis," katanya.