Lee Tuck azam perkuat Harimau Malaya

LEE TUCK
LEE TUCK
A
A
A

PEMAIN naturalisasi, Lee Tuck menanam impian untuk terus menyarung jersi Harimau Malaya selepas tampil cemerlang pada saingan Piala AFF 2022.

Sambil menyifatkan satu kebanggaan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan, Lee Tuck berazam meletakkan Harimau Malaya menjadi sebuah pasukan digeruni.

Malah, tonggak tengah baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC itu berikrar mempertingkatkan lagi tahap permainannya agar terpilih menjadi antara pemain utama Harimau Malaya.

“Saya akan terus memperbaiki prestasi bersama Kedah. Saya mempunyai misi untuk berjuang bersama Kedah dan untuk dipanggil semula menyertai pasukan kebangsaan.

“Saya mahu melihat ke hadapan dengan Kedah dan kembali dalam pasukan kebangsaan kerana untuk bermain di peringkat ini (antarabangsa) menjadi impian setiap pemain,” katanya.

Lee Tuck melakukan penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika menentang Kemboja dan Maldives yang menyaksikan dia meledak gol dalam kedua-dua aksi persahabatan itu bulan lalu.

Kecemerlangan pemain kelahiran Halifax, England itu diteruskan dalam saingan Piala AFF 2022 apabila menjadi antara nadi di bahagian tengah Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Lee Tuck tetap berbangga dengan pencapaian Harimau Malaya di pentas Piala AFF kali ini walaupun sedikit kecewa kerana gagal mara ke pentas final.

Artikel Berkaitan:

“Sangat hebat untuk bersama pasukan selama 45 hari. Ia peluang kepada saya untuk menunjukkan keinginan dan rasa bertuah saya untuk beraksi kepada negara.

“Saya bangga untuk berada dalam pasukan kebangsaan Malaysia dan kita akan cuba bangkit lebih kuat selepas ini demi Harimau Malaya,” ujarnya.