Murid Tahun Tiga saman guru KAFA, YIT RM410,000

Nor Azlina berbincang dengan peguam Mohd Hazwan (tengah) selepas memfailkan saman di Mahkamah Kuala Terengganu.
Nor Azlina berbincang dengan peguam Mohd Hazwan (tengah) selepas memfailkan saman di Mahkamah Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang murid Tahun Tiga memfailkan saman terhadap seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kerana melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan tulang tibia atau fibulanya patah, pada 6 Julai lalu.

Nor Azlina Mohd Yasin, 37, yang mewakili anaknya, Muhammad Izz Anaqi Mohd Izwan, 10, sebagai plaintif memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Sesyen, di sini melalui peguam Mohd Hazwan Hamidun dari Tetuan Rafaei & Co.

Selain guru KAFA tersebut, plaintif turut menamakan Yayasan Islam Terengganu (YIT) sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nor Azlina mendakwa perbuatan defendan pertama yang memegang dan menghempas anaknya ke atas kerusi sehingga mendatangkan kecederaan merupakan serangan yang menyalahi undang-undang tort dan jenayah.

Akibat perbuatan defendan pertama, plaintif terpaksa menjalani rawatan pemulihan, bakal menghadapi risiko kecacatan kekal berikutan kecederaan dialaminya selain mengalami tekanan emosi dan mental.

Plaintif turut menyatakan defendan kedua sebagai majikan cuai dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka hingga menyebabkan berlakunya kecederaan pada plaintif oleh defendan pertama.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM410,000, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas pada suatu jumlah yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan seorang murid lelaki patah kaki kanan selepas didakwa dihempas seorang guru KAFA dalam kejadian di sebuah sekolah di daerah Marang.

Artikel Berkaitan:

Kejadian dipercayai berlaku pada 6 Julai lalu ketika mangsa berusia sembilan tahun berada di sekolah berkenaan.

Ibu mangsa menyedari kejadian menimpa anaknya kira-kira jam 5 petang hari yang sama selepas mangsa mengadu kakinya sakit.