Dua individu rugi lebih RM66,000 diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Dua individu mengalami kerugian RM66,120 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam sekitar bulan Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa pertama, seorang tentera berusia 25 tahun mengalami kerugian RM26,120 selepas melihat satu iklan pembelian wang lama di aplikasi Instagram.

"Mangsa berminat untuk menjual wang lama bernilai RM2 miliknya dengan tawaran harga AS$30,000.

"Suspek kemudian meminta mangsa mengaktifkan akaun antarabangsa dan membuat 11 transaksi dalam akuan berbeza sehingga mengakibatkan kerugian," katanya yang memaklumkan mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Rabu.

Dalam masa sama katanya, satu lagi kes dilaporkan di IPD Rompin melibatkan seorang suri rumah yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud pada 16 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan laporan, suri rumah berumur 63 tahun berjumpa dengan wakil syarikat pelaburan untuk membuat pelaburan emas.

Menurutnya, pelaburan terbabit menjanjikan pulangan modal dalam masa 30 dan 60 hari untuk keuntungan dividen serta dinar emas.

"Mangsa berminat dan menyerahkan wang tunai sebanyak RM40,000 kepada wakil syarikat pelaburan bagi tujuan pelaburan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, selepas itu mangsa tidak menerima sebarang pulangan dari syarikat tersebut sehingga hari ini," jelas beliau.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dan penjualan wang lama.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," tegasnya.