Perwakilan UMNO sebulat suara terima kerjasama Kerajaan Perpaduan

Johari ketika ditemui media selepas hadir taklimat khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.
Johari ketika ditemui media selepas hadir taklimat khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Semua perwakilan UMNO sebulat suara menerima kerjasama parti tersebut dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada Disember lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Ghani berkata, perkara tersebut dicapai semasa sesi taklimat khas bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

“Semua perwakilan terima sebulat suara Kerajaan Perpaduan,” katanya selepas menghadiri taklimat khas di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Rabu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mencatatkan sejarah tersendiri apabila penganjuran kali ini sedikit berbeza iaitu Taklimat Presiden diadakan kembali.

Beliau berkata, taklimat secara tertutup oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dijangka membabitkan kehadiran lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara.

Taklimat tersebut difahamkan bagi memberi kefahaman dan memaklumkan kepada perwakilan yang hadir mengenai tindakan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut Johari berkata, Ahmad Zahid turut menekankan agar tiada sebarang pengkhianatan berlaku dalam parti tersebut.

“Maknanya apabila kita pergi pertandingan, parti yang datang dari UMNO juga sokong parti lain. Jangan ada pengkhianatan dalam perjuangan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Ahmad Zahid menyampaikan taklimat berkaitan isu-isu semasa dan hal yang menjadi keprihatinan dalam ahli.

“Beliau menjelaskan perkara-perkara yang selama ini menjadi tanda tanya kepada ahli. Beliau buat penjelasan dengan baik kepada semua ahli,” ujarnya.