[VIDEO] Hormati keputusan Hajiji - Jin Zhe

Jin Zhe ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.
Jin Zhe ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor harus dihormati, kata Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Zhe.

Beliau yang merupakan muka baharu dilantik sebagai menteri dalam kabinet Sabah menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini hanya berkata memberi sokongan kepada Hajiji.

"Saya rasa Perdana Menteri cuma kata 'saya berikan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji'. Letakkan keyakinan kepada Datuk Seri Hajiji... itu saja.

"Apabila kita bertemu (Anwar) sangat ringkas, dia cuma dalam kediaman rasmi Ketua Menteri sepanjang 30 minit, dia bincang dia beritahu tidak ada masalah letakkan sokongan kepimpinan kepada Datuk Seri Hajiji untuk terus pimpin Sabah.

"Saya rasa inilah keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri, kita kena akui dan kita hormat. Dengan sokongan ini khususnya sokongan daripada tujuh ahli Pakatan Harapan (PH), saya rasa Sabah akan terus ada kestabilan," katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu pada Rabu.

Beliau dalam pada itu meminta pihak berkaitan untuk tidak masuk campur dalam keputusan yang dibuat oleh kepimpinan di Sabah.

"Saya rasa janganlah ada masuk campur dari Pusat sebab Sabah sedang memerhati. Rakyat Sabah mahukan pengakhiran episod, jadi inilah keputusan yang dibuat mungkin kurang memuaskan daripada pihak tertentu tetapi saya rasa inipun boleh dianggap sebagai perpaduan," katanya.

Beliau dalam pada itu menyifatkan bahawa pelantikan itu lebih inklusif dengan penyertaan daripada kaum Cina dalam kabinet Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Saya berasa bangga juga dapat dimasukkan dalam kabinet bukan saja mewakili komuniti Cina dan untuk rakyat Sabah, saya akan kerja keras untuk semua rakyat Sabah," katanya.

Ikuti perkembangan politik semasa negara di sini!